Imam asy-Syafi'e
Bahsul 'ilmi untuk Madah Tarikh Adab al-'Arabi oleh Lukman Al Hakim Bin Md.Noor 1118419
KEHIDUPAN SERBA KEKURANGAN DALAM MENUNTUT ILMU
Imam Syafie membesar di negeri
Ghazzah sebagai seorang yatim setelah ayahnya meninggal dunia. Beliau hidup
dalam kefakiran, keyatiman dan terasing daripada keluarga. Namun keadaan ini
tidak melemahkan semangat beliau dalam menempuh kehidupan. Dalam pada itu,
Allah telah menganugerahkan taufiq kepadanya untuk menempuh ke jalan yang
benar. Setelah beliau dibawa ke Hijaz atau kota Mekkah mengikut pendapat masyhur,
maka Imam Syafie mula menghafal al-Quran sehingga beliau menguasainya ketika
berusia tujuh tahun.
Imam Syafie bercerita: “Aku hidup
sebagai seorang yatim semasa dalam asuhan ibuku. Ibuku tidak mampu membayar
upah seorang guru untuk mengajarku. Tetapi guru itu redha dan gembira sekiranya
aku menjadi penggantinya. Maka setelah aku menghafal al-Quran dengan sempurna,
aku hadir ke masjid dan berkumpul bersama para ulama untuk menghafal hadis dan
masalah agama. Pada waktu yang sama, tempat penginapan kami terletak di jalan
bukit al-Khaif. Aku menulis apa yang aku pelajari di atas tulang. Setelah
jumlahnya banyak, tulang-tulang yang berukir tukisan itu aku masukkan ke dalam
karung”.[1]
Sementara itu, Imam asy –Syafie
berkata lagi : “ Dengan sebab kemiskinan, ibu saya tidak mampu menyediakan
peralatan persekolahan untuk saya. Justeru itu, saya mencari tulang belulang,
daun tamar yang kering dan pelepahnya untuk saya catat dan simpankan segala
ilmu yang dipelajari”[2]
Di samping itu, Imam Syafie juga pernah berkata: “Aku datang ke
Mekkah pada usia lebih kurang 10 tahun. Setelah aku menemui sanak saudara di sana , salah seorang
daripada mereka menasihatiku ketika dia mengetahui aku terlalu bersemangat
untuk mendalami ilmu. Katanya: “Jangan tergesa-gesa dalam (mempelajari) ilmu
dan bersunguh-sungguhlah dengan ilmu yang memberi faedah kepadamu”. Bermula
dari sini, aku merasakan suatu kelazatan dalam menuntut ilmu sehingga Allah
menganugerahkan rezeki kepadaku disebabkannya”.[3]
Beliau berkata lagi: “Aku miskin, tidak mempunyai harta dan aku belajar ketika
usiaku masih kecil. Aku perlu pergi ke perpustakaan untuk mendapatkan ilmu
dengan menggunakan kulit bahagian luar buku yang aku temui untuk menulis apa
yang aku pelajari”.[4]
Imam Syafie sangat tekun mendalami ilmu. Beliau telah menghafal al-Quran
ketika berusia 7 tahun. Manakala beliau telah menghafal kitab al-Muwaththa’
(penulisan Imam Malik) ketika berusia 15 tahun (ada pendapat yang mengatakan 18
tahun). Selain itu, Imam Syafie diberi kepercayaan dalam mengeluarkan fatwa
dengan izin gurunya yang bernama Muslim bin Khalid az-Zanji. Imam Syafie turut
menekankan pembelajaran syair dan bahasa Arab. Beliau menghafal syair-syair
daripada suku Hudzail. Bahkan menurut satu riwayat, beliau hidup bersama mereka
untuk satu tempoh yang lama iaitu 10 tahun atau 20 tahun. Melalui mereka Imam
Syafie menguasai bahasa Arab dan balaghah.
Di samping itu, Imam Syafi’e juga mempelajari hadis daripada
beberapa syeikh dan imam. Beliau membaca kitab al-Muwaththa’ di hadapan
Imam Malik dengan kaedah hafazan sehingga Imam Malik sendiri kagum dengan
kebijaksanaannya. Semasa dalam tempoh beliau mendampingi Imam Malik, beliau
turut mempelajari ilmu para ulama Hijaz setelah beliau turut menimba ilmu
daripada syeikh Muslim bin Khalid az-Zanji. Selain itu, Imam Syafie juga
mengambil riwayat daripada sebilangan ulama. Beliau juga mendalami al-Quran
melalui Ismail bin Qasthanthin (diriwayatkan) dari Syibl, dari Ibnu Katsir,
dari Mujahid, dari Ibnu ‘Abbas, dari ubay bin Ka’ab dan seterusnya dari Rasulullah
s.a.w.[5]
Perbahasan
PENGEMBARAAN IMAM SYAFIE DALAM MENCARI ILMU BAHASA ARAB.
Setelah Imam Syafie menghafal al-Quran
di Mekkah, beliau berminat untuk mendalami syair dan bahasa Arab sehingga
beliau mendampingi suku Hudzail untuk menghafal syair mereka. Al-Abarri telah
meriwayatkan melalui sanad daripada ar-Rabi’ bin Sulaiman bahawa Imam Syafie
telah menghafal syair-syair suku Hudzail semasa beliau masih kecil: “Aku telah
mendengar Imam Syafie berkata: “Ketika aku berada di suatu tempat, aku
mendengar seorang guru mengajar satu kalimah, lalu aku menghafalnya”. Kemudian
kata beliau lagi: “Aku keluar dari Mekkah dan kemudian menetap bersama suku Hudzail
di pendalaman. Ketika bersama mereka, aku mempelajari bahasa mereka dan mengambil
ucapan-ucapan mereka. Mereka merupakan kabilah yang paling fasih bahasanya”.[6]
Imam al-Hakim meriwayatkan melalui
jalur Mish’ab az-Zubairi melalui kata-katanya: “Imam Syafie membaca syair-syair
Hudzail dengan kaedah hafalan dan beliau berkata kepadaku: “Jangan kamu
ceritakan kepada sesiapa pun”. Pada permulaan malam, beliau mengulang beberapa
kali bersama bapaku sehingga subuh”. Pada peringkat awal, Imam Syafie
mempelajari syair, sejarah, peperangan masyarakat Arab serta sastera. Kemudian
barulah beliau mendalami ilmu feqah. Peristiwa yang mendorong Imam Syafie untuk
mempelajari feqah ialah pada suatu ketika beliau menaiki tunggangan dan
mendendangkan bait-bait syair lalu didengari oleh Mish’ab bin Abdullah
az-Zubairi. Maka berkata Mish’ab: “Orang seperti kamu jika menjadi penyair akan
hilang kemuliannya sebagai manusia melainkan engkau mendalami feqah”. Lantas Imam
Syafie mendatangi Muslim bin Khalidd az-Zanji untuk mempelajari feqah setelah
hatinya terusik dengan kata-kata Mish’ab. Setelah itu, beliau pergi ke Madinah
untuk menuntut ilmu dengan Imam Malik.[7]
Diriwayatkan bahawa orang yang
menyuruhnya mendalami feqah adalah gurunya Muslim bin Khalid az-Zinji. Hal ini
disebut di dalam riwayat al-Baihaqi melalui Abu Bakar al-Humaidi: “Imam Syafie
bercerita: “Aku keluar untuk belajar nahu dan sastera. Kemudian aku berjumpa
dengan Syeikh Muslim bin Khalid lalu dia bertanya kepadaku: “Wahai anak muda,
dari mana asal usulmu?’ Lalu aku menjawab: ‘Dari keluarga yang berasal dari Mekkah”.
Kemudian beliau bertanya lagi: “Di mana kamu tinggal?”. Aku menjawab: “Di jalan
bukit al-Khaif”.”Dari suku apa?” “Dari keturunan ‘Abdi Manaf”. Maka Syeikh
Muslim berkata: “Bagus. Allah telah memuliakanmu di dunia dan akhirat. Alangkah
baiknya jika engkau mempelajari feqah”.[8]
Kesimpulannya, keterangan dan
riwayat di atas menunjukkan bahawa Imam
Syafie mendampingi suku Hudzail di sekitar Mekkah untuk mempelajari bahasa dan menghafal
syair mereka setelah beliau tamat menghafal al-Quran. Kemudian hati beliau
berubah untuk mempelajari feqah. Oleh itu, beliau berguru dengan seorang mufti
Mekkah, Syeikh Muslim bin Khalid az-Zinji. Setelah beliau mendalami ilmu
daripada Syeikh Muslim, beliau memulakan pengembaraan ke Madinah untuk
meneruskan usaha dalam menuntut ilmu.
Pada peringkat permulaan, Imam Syafie
tidak memberi perhatian yang serius terhadap ilmu Fiqh. Setelah beliau
mempelajari al-Quran dan Hadith beliau telah menumpukan perhatian yang
sepenuhnya kepada bahasa Arab serta kesusasteraannya.
Imam
as-Asyafi’e mendalami ilmu fiqh adalah disebabkan rentetan dari kata-kata Sheikh
Muslim Bin Khalid al-Zinji seorang ahli fiqh yang beliau jumpa dalam perjalanan
untuk mempelajari ilmu tatabahasa atau nahu bahasa Arab.
Mulai
dari saat itu, timbul minat yang mendalam diri Imam Syafie terhadap ilmu fiqh.
Sejak peristiwa itu beliau menumpukan perhatiannya dalam mendalami ilmu fiqh
daripada para ulama di Mekkah termasuk Sheikh Muslim sendiri. Perhatian yang
diberikan terhadap ilmu fiqh melebihi perhatian yang pernah diberikan kepada
bidang-bidang ilmu lain kerana beliau berpendapat ilmu fiqh ialah anugerah
Allah SWT yang paling istimewa selepas kenabian.
Kesungguhan
Imam Syafie mempelajari fiqh serta kepintarannya memahami dan mengingati
masalah-masalah fiqh telah mendapat sanjungan dari guru-gurunya. Umpamanya
Sheikh Muslim telah membenarkan Imam as-Syafi’e berfatwa ketika beliau masih
berumur 15 tahun dengan katanya : “Wahai Syafi’e berfatwalah, sesungguhnya
sekarang sudah tiba masanya untuk kamu berfatwa”.
Sanjungan
dan pengiktirafan yang diberikan ini besar nilainya terutama oleh seorang ulama
dan mufti yang amat disegani ketika itu di Kota Mekkah.
Namun
begitu, Imam as-Syafi’e masih belum berpuas hati dengan ilmu yang diperolehi
tersebut. Bukan sanjungan yang diinginkan, bukan pengiktirafan yang dicari. Pencarian
Imam as-Syafi’e adalah jauh lebih daripada itu, iaitu menimba ilmu sebanyak
mungkin dari lautan ilmu yang tak bertepian itu semata-mata mencari keredhaan
Allah.
Setelah
beliau menggarap ilmu dari sebilangan ulama yang terkenal di Mekkah, lantas
beliau tercari-cari jika terdapat ulama yang masih tertinggal. Pencarian beliau
terjawab akhirnya apabila beliau telah mendengar khabar bahawa terdapat ulama
yang alim lagi warak di Madinah Al-Munawwarah[9].
Dicatatkan di dalam kitab Bustan al-A’rifiin, diriwayatkan bahawa
suatu hari Imam Syafi’e telah kembali ke rumahnya dengan penuh kegembiraan
setelah mendapat surat dari Gabenor Makkah untuk memperkenalkan beliau kepada
Imam Malik. Setelah sampai dirumahnya, oleh kerana beliau terlalu gembira dan
terlalu berkeinginan untuk memberitahu ibunya tentang berita tersebut, beliau
mengetuk pintu dengan agak kuat melebihi kebiasaannya.
Ibunya yang berada di dalam rumah
tidak dapat mengagak siapakah yang mengetuk pintu dari luar sehingga ibunya
bertanya “ Siapakah yang mengetuk pintu itu?” Jawab Imam as-Syafi’e: “Saya
Syafi’e”. Setelah mengetahui bahawa orang yang mengetuk pintu dengan kuat itu
adalah Syafi’e lalu tanpa membuka pintu, ibunya pun berkata: “Kalaulah itu
Syafi’e, pergilah lagi dan janganlah engkau pulang menemui daku sehingga engkau
telah belajar dengan sempurna ilmu mengenai adab sopan yang baik dan budi
pekerti yang mulia”. Sindiran tajam dari ibunya itu sungguh menusuk hati
kecilnya. Sejak itu beliau berazam akan terus menuntut ilmu dan tidak akan
pulang sehingga pengetahuannya sempurna.
Setelah itu, tanpa masuk ke dalam
rumah berjumpa ibunya, Imam Syafi’e terus pergi ke Madinah dengan berbekalkan
beberapa keping duit dirham sahaja. Beliau telah menumpang rombongan dagang
yang hendak berniaga ke Syam. Dalam perjalanan menuju ke Madinah yang memakan
masa 8 hari, beliau telah sempat mengkhatamkan al- Quran sebanyak 16 kali.[10]
Sebelum Imam Syafi’e pergi ke Madinah untuk menemui Imam Malik,
beliau telah menghafal kandungan kitab al-Muwaththa’ sebagai usaha
permulaan untuk mendalaminya dengan lebih terperinci. Dalam satu riwayat telah
dinyatakan bahawa beliau menghafal kitab tersebut semasa berusia 10 tahun.
Manakala riwayat lain mengatakan ketika beliau berusia 13 tahun.[11]
Imam Syafi’e meriwayatkan tentang perjalanan beliau untuk bertemu Imam Malik:
“Aku keluar dari Mekkah untuk hidup bergaul bersama suku Hudzail di perkampungan.
Aku mengambil bahasa mereka dan aku mempelajari ucapan mereka dan mereka
merupakan suku Arab yang paling fasih. Setelah beberapa tahun aku tinggal
bersama mereka, aku kembali semula ke Mekkah. Lalu aku membaca syair-syair
mereka dan menyebut peristiwa dan peperangan bangsa Arab. Ketika itu, lalu
seorang dari suku az-Zuhri dan berkata kepadaku:
“Hai Abu
‘Abdillah, berat rasanya jika keindahan bahasa yang engkau kuasai tidak
diimbangi dengan ilmu dan feqah” Lalu aku bertanya: “Siapakah orang yang patut
aku temui?”. Dia menjawab: “Malik bin Anas, pemimpin Umat Islam”. Imam Syafi’e
berkata: “Maka timbullah minatku untuk mempelajari kitab al-Muwaththa’ الموطأ ) ). Untuk itu, aku meminjam kitab itu daripada seseorang di Mekkah. Setelah
aku menghafalnya, aku menjumpai gabenor Mekkah dan mengambil surat untuk aku
berikan kepada gabenor Madinah dan Imam Malik bin Anas. Apabila tiba di
Madinah, aku berikan surat
tersebut kepada gabenor Mekkah. Lalu beliau berkata setelah membacanya: “Wahai
anak, aku lebih suka berjalan kaki dari pendalaman Madinah menuju ke Mekkah
daripada menghadap Imam Malik. Aku bukan seorang yang hina, sehingga harus
berdiri di hadapan pintunya”. Aku berkata kepadanya: “Kalau begitu jemput
sahaja beliau”. Gabenor Madinah menjawab: “Tidak mungkin. Andai aku datang
berkenderaan bersama pengawalku dalam keadaan berlumuran debu lembah, barulah
ia mahu melayani hajat kita.” Aku pun membuat temujanji dengannya pada waktu Asar
dan berangkatlah kami kepadanya. Setelah sampai di rumah Imam Malik, pemuda yang
mendampingi kami mengetuk pintu. Keluarlah seorang budak hitam lalu aku berkata
kepadanya: “Beritahu kepada tuanmu bahawa kami telah sampai”. Maka budak itu
masuk. Setelah lama menunggu, budak itu keluar dan mengatakan kepada kami “Sekiranya
mempunyai masalah harap ditulis dan akan diberikan jawapannya secara bertulis
juga. Apabila ingin belajar hadis, maka diharap datang pada jadual yang telah
ditentukan. Oleh itu, kembalilah”. Mendengar keterangan budak perempuan itu,
gabenor berkata: “Katakan kepada tuanmu saya membawa surat daripada gabenor Mekkah. Ada yang ingin
dibicarakan mengenainya”. Budak itu masuk kembali dan keluar tidak lama
kemudian bersama sebuah kerusi. Tidak lama selepas itu, Imam Malik yang
berbadan tinggi keluar dengan penuh wibawa mengenakan baju gamis (hijau).
Lantas gabenor Madinah menyerahkan surat tersebut kepadanya dengan berkata:
“Pemuda ini seorang yang terhormat, baik akhlaknya serta pandai, maka
sampaikanlah hadis kepadanya”. Mendengar ucapan itu, maka Imam Malik mencampak surat
tersebut dan berkata: “Subhanallah, ilmu Rasulullah s.a.w diambil dengan cara
ini”. Aku melihat gabenor takut untuk berbicara dengannya lagi. Kemudian aku
memberanikan diri untuk memperkenalkan diri: “Aku adalah keturunan Muthalib,
semoga Allah tetap menjadikan tuan sebagai seorang yang soleh”. Imam Malik
memandangku sesaat. Rupanya beliau mempunyai firasat, kemudian ia bertanya:
“Siapakah namamu?” Lalu aku menjawab: “Muhammad”. Ia berkata: “Wahai Muhammad,
bertaqwalah kepada Allah. Tinggalkanlah maksiat kerana engkau akan menjadi
orang besar”. Aku menjawab: “Insya allah”. Imam Malik berkata: “Datanglah esok
dan akan ada orang yang membacakan kitab al-Muwaththa’ untukmu. Kataku:
“Sesungguhnya saya telah menghafalnya dengan baik[12]”.
Imam Syafie melanjutkan ucapan
beliau: “Esoknya aku datang pada awal pagi dan aku mula membaca kitab itu
dengan rasa kagum terhadapnya. Namun setiap kali aku ingin menghentikan bacaan,
Imam Malik tertarik dengan bacaanku seraya berkata: “Wahai anak muda, teruskanlah
bacaanmu.” Akhirnya aku membaca kitab karangannya itu dalam tempoh beberapa
hari. Setelah itu, aku tinggal di Madinah sehingga Imam Malik bin Anas wafat”.
Kemudian Imam Syafie menceritakan
pengembaraannya ke negeri Yaman.[13]
Oleh itu, jelas menunjukkan Imam
Syafie tidak terus tinggal di Madinah tetapi diselangi dengan kepulangannya ke
Mekkah untuk menziarahi ibunya. Dalam perjalanan pulangnya, beliau sempat
mendengar syair-syair suku Hudzail dan belajar daripada ulama Mekkah.
Sejumlah riwayat dan keterangan menyebutkan
bahawa Imam Syafie pergi ke Madinah pada usia 13 tahun, iaitu sekitar tahun 163
H. Beliau sentiasa berulang-alik antara Madinah, Mekkah dan perkampungan
Hudzail meskipun kebanyakan masa beliau dihabiskan di Madinah untuk mendampingi
Imam Malik bin Anas sehingga beliau wafat pada tahun 179H. Setelah itu, barulah
Imam Syafi’e pulang ke Mekkah apabila telah memperolehi ilmu daripada Imam
Malik. Bermulalah selepas itu, nama Imam Syafie dan ilmu beliau mula dikenali sedangkan
umurnya pada saat itu baru menjangkau usia 29 tahun. Pada waktu ini, Imam Syafi’e
berguru dengan Sufyan bin ‘Uyainah, Muslim bin Khalid az-Zanji, Ibrahim bin Abu
Yahya dan Malik bin Anas di Madinah. Selain itu, beliau turut menimba ilmu
daripada ulama-ulama lain sepertimana yang dituturkan oleh Mus’ab az-Zubairi: “Imam
Syafie telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik bin Anas
dan menghimpun ilmu semua alim ulama di Madinah”.[14]
Dikatakan bahawa
ulama yang mula-mula menulis dan menyusun ilmu usul fiqh di dalam kitabnya yang berlainan ialah Imam
as-Syafie.
[1] Adab Asy-Syafie (54).
[2] Hj Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, Imam Syafei
penghulu imam dan pembaru ummah, (11)
[3] Ibid (53)
[4] Ibid (53-54).
[5] Al-Bidayah wa an-Nihayah (10/263).
[6] Tawali at-Ta’sis (55).
[7] Manaqib asy-Syafi’e, al-Baihaqi (1/96), Hilyah al-Auliya
(1/70), dan Tawali at-Ta’sis (54).
[8] Manaqib asy-Syafi’e, al-Baihaqi (1/97).
[9] Muhammad Zaini Yahya, Kisah Pengembaraan Imam Syafie,
(9-11), Darul Nu’man
[10] Hj Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, passim, (22-23)
[11] Tawali at-Ta’sis (54).
[12] Imam Syafei Penghulu Imam dan Pembaharu Ummah, Hj Muhammad
Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki (24).
[13] Al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’e, (1/102-103) dan ar-Razi
(9-10). Ringkasannya dalam kitab Hilyah al-Auliya (9/69) dan Tawali
at-Ta’sis (53-56).
[14] Mu’jam al-Udaba’ (17/283).
الصورة العالية تدل على محاضري لمادة تاريخ الأدب العربي |
Comments
Post a Comment